Namun katanya, pada masa yang sama, FAM perlu realistik dalam
menjatuhkan hukuman itu kerana jika silap, hukuman berkenaan akan dilihat
sesetengah pihak sebagai satu “salah pentafsiran” yang akan memburukkan lagi
keadaan.
“Apa yang saya khuatir akan berlaku salah tafsir
dan jika berlaku salah tafsir akan berlaku ketidakadilan… ini perlu penelitian
lebih lanjut (jika berlaku perkara itu) dan kongres perlu buat penambahbaikan,”
katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau juga tidak mahu menjangkakan apa bentuk hukuman yang bakal
diputuskan nanti kerana khuatir ia akan menimbulkan persepsi lain dan semua
pihak perlu menghormati apa sahaja keputusan jawatankuasa itu.
Annuar berkata, beliau akan membawa seseorang yang arif dalam bidang
undang-undang ketika menghadap jawatankuasa berkenaan bagi membantunya menjawab
segala pertuduhan yang dikenakan gara-gara secara terbuka mengkritik prestasi
skuad kebangsaan di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal sebelum ini.
Katanya, FAM perlu melihat daripada sudut mana kesalahan itu dijatuhkan
kerana pada masa itu beliau hanya menjawab soalan wartawan mengenai persembahan
pasukan negara.
“Ketika itu Presiden dan timbalan tidak ada dalam negara dan saya pada
waktu itu mewakili FAM yang jika saya tidak menjawab soalan mudah dari rakan
wartawan ketika itu adalah tidak baik untuk persatuan dan saya boleh dihukum
jika tidak menjawabnya pula seolah-olah saya tidak bersedia dan tidak
bertanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah berkata, Annuar
dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin badan induk bola sepak negara pada 4 April
ini kerana didakwa secara terbuka mengkritik prestasi skuad kebangsaan di bawah
kendalian Rajagobal di media.
Baginda bertitah, Annuar perlu berdepan dengan jawatankuasa itu kerana
tindakannya ternyata melanggar peraturan badan induk bola sepak negara kerana
apa yang dilakukannya merupakan satu kesalahan yang amat besar.
“Bila kita buat satu benda yang bodoh, yang menyalahi undang-undang,
kita kena berhadapan dengan tindakan itu,” katanya di Kuantan. Sultan
Ahmad Shah bertitah, Annuar sepatutnya lebih arif mengenai peraturan yang telah
ditetapkan FAM kerana Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah
ketika mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Februari lalu telah
menyatakan bahawa hal FAM tidak wajar disebar kepada media tetapi patut dibawa
berbincang dengan jawatankuasa berkenaan.
Baginda bertitah, Annuar sepatutnya lebih tahu mengenai peraturan itu
kerana ketika mesyuarat Exco baru-baru ini telah diberitahu oleh Tengku
Abdullah supaya jangan lantang memberi keterangan kepada media tanpa kebenaran
FAM.
Antara pertuduhan ke atas Annuar ialah melanggar Statut FAM dengan
membuat kenyataan akhbar, di mana hanya Presiden FAM yang juga Pengerusi
Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM saja boleh memberi komen
berkenaan skuad kebangsaan.
Annuar juga dituduh melanggar titah Timbalan Presiden FAM ketika
mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Februari lalu iaitu hal-hal FAM
tidak wajar disebar kepada media dan sepatutnya dibawa berbincang dengan
jawatankuasa tersebut.
Sebelum ini, bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin
Raja Omar digantung tiga tahun pada 1991 dan Allahyarham Datuk Paduka Ahmad
Basri Mohd Akil dua kali digantung iaitu pada 2001 (empat tahun) dan 2006
(setahun) kerana mengkritik FAM. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan