KOTA BHARU – Prestasi hambar barisan
penyerang import Kelantan sejak kebelakangan ini mungkin dianggap menemui
titik penyelesaiannya apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dikhabarkan
berjaya memancing khidmat bekas pemain import Perak musim 2004 hingga 2007,
Keita Mandjou.
Mandjou yang kini beraksi dengan kelab Pune FC dalam Liga India itu
difahamkan bakal mengikat kontrak untuk beraksi bersama The Red Warriors dalam
baki saingan Liga Malaysia musim ini.
Menurut sumber dalaman Kafa, kunjungan Presidennya, Tan Sri Annuar Musa
ke India sejak Ahad lalu dilihat satu usaha untuk membawa pemain berusia 32 itu
beraksi dengan Kelantan.
“Kehadiran Mandjou pasti memperkuatkan jentera serangan setelah beberapa
penyerang import sebelum ini dilihat gagal memberikan sumbangan
berkesan kepada Kelantan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
“Langkah ini dianggap bertepatan memandangkan pintu pendaftaran pemain
import kali kedua akan dibuka pada 2 April ini oleh Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM). Jadi ini merupakan masa terbaik bagi Kelantan dalam
mencari pemain import yang lebih bagus.
Ketika ini Kelantan mempunyai tiga penyerang import iaitu Onyekachi
Nwoha, Mohammad Ghaddar dan Denny Antwi. Namun Ghaddar dan Antwi didaftar
beraksi dalam Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (Piala AFC) sementara
Nwoha pula beraksi dalam Liga Super.
Seorang lagi pemain import ialah bekas pemain kebangsaan Nigeria, Obinna
Nwaneri yang beraksi di posisi pertahanan. Namun segala-galanya bergantung
hasil perbincangan pihak pengurusan dan pengendali pasukan, Bojan Hodak dalam
menstrukturkan semula barisan pemain import The Red Warriors selepas ini.
Mandjou, 32, pemain kelahiran Guinea sebelum ini turut dikaitkan
perpindahan dengan pasukan lamanya, Perak. Beraksi sebanyak 42 perlawanan
sepanjang mewakili pasukan Seladang, Mandjou dianggap salah seorang penyerang
import paling menonjol apabila meledakkan 36 gol bersama pasukan
tersebut.
Selain pernah memenangi anugerah Kasut Emas pada musim 2005/06 dengan 17
gol, Mandjou yang kini mewakili Pune FC turut menjaringkan 12 gol daripada 17
penampilannya bersama kelab yang kini menduduki tangga kelima daripada 14
pasukan dalam Liga India itu.
Sumber : kelate.net tq kelate.net
Tiada ulasan:
Catat Ulasan