Khamis, 29 Mac 2012

Jom Kita Teguhkan Sokongan !


Saban hari mula terbongkar siapa individu gunting dalam lipatan yang sering memberi imej buruk kepada penyokong Kelantan dalam setiap laporan di media cetak mahupun media di atas talian. Jika isu berkaitan politik, rakyat Kelantan sudah lali menerima segala tohmahan malah yang terbaru media seolah-olah memberi gambaran tiada rakyat Kelantan yang cemerlang dalam keputusan SPM dan STPM. Inilah hakikat yang harus diterima oleh penyokong Kelantan apabila laporan terkini media-media sukan juga bagai terpalit dakyah ini apabila kerap melancar serangan memperlekehkan presiden dan pasukan Kelantan serta turut melibatkan seluruh pencinta bolasepak Kelantan sejak awal bulan ini.
Jika insiden membaling mercun roket di stadium Shah Alam ke arah bangku pemain dan pegawai Selangor digembar-gembur berulang-ulang kali di kaca TV, begitu juga sejarah hitam rusuhan penyokong 2009 dan insiden membakar kerusi di stadium Nasional Bukit Jalil sentiasa dijadikan titik hitam untuk memburukkan penyokong Kelantan seperti kejadian itu berlaku setiap tahun. Namun pelik pula insiden penyokong Sarawak menyerang kawasan pegawai dan pemain simpanan dengan mercun dalam perlawanan Sarawak menentang Lions XII 17 mac lalu bagai dilenyapkan seolah-olah tiada apa yang perlu dihebohkan.

Pihak media seperti menerima arahan jika insiden buruk Kelantan semuanya "OK", bukan Kelantan simpan dulu. Melihat situasi ini, seluruh penyokong Kelantan disaran bersatu hati menepis segala serangan ini, tiada lagi wadah yang dapat menyatukan seluruh rakyat Kelantan kecuali melalui wadah sukan bolasepak iaitu sukan nombor satu rakyat Kelantan. Lupakan sejenak mempolitikkan The Red Warriors untuk kepentingan mana-mana parti, meskipun gelombang pilihanraya mula membadai segenap ceruk kampung di Kelantan.
Kita harus bersedia berlapang dada melalui pengalaman dua bulan yang lalu apabila jumlah kehadiran stadium menerima impak kerana rasa tidak puas hati dengan mesej-mesej politik yang merugikan, terimalah hakikat hanya aksi skuad The Red Warriors sahaja yang mampu melupakan perit jenuh rakyat Kelantan kepada perniagaan, perkerjaan dan politik yang kekadang memecahbelahkan mereka.
Sememangnya sukar mencari hati dan jiwa sepertimana yang ada pada seluruh penyokong The Red Warriors, dari kecil anak-anak mereka sudah di didik menyarung jersi pasukan kesayangan mereka sehinggalah mereka mampu memimpin rakan dan sanak saudara serta keluarga ke stadium. Malah di saat badan keuzuran atau sakit, mulut mereka masih lagi bertanya khabar mengikuti perkembangan semasa pasukan kesayangan mereka meskipun sekadar mengetahui keputusan semasa perlawanan. Amat menakutkan juga kepada si kaki bangku atau pemegang status kelahiran rakyat Kelantan kerana mereka juga harus bersedia mengetahui serba sedikit tentang pasukan mereka, apa tidaknya fenomena terkini lebih ramai penyokong setia wanita lebih hebat mengikuti dan memahami info semasa pasukan TheRed Warriors berbanding segelintir lelaki yang hanya bersedia apabila Kelantan menjejak kaki ke final untuk bersedia menjadi ulat-ulat tiket.

Oleh itu tidak hairanlah fenomena luar biasa penyokong Kelantan dan kehebatan pasukan sentiasa menjadi tumpuan pengkritik mahupun pencinta bolasepak Malaysia kerana setiap isu-isu yang dikaitkan dengan mereka akan mendapat sambutan hangat samada perit atau bangga untuk di terima. Apalah sangat dengan isu yang mahu menghentam untuk melariskan jualan atau tontonan jika stadium pasukan sendiri pun tidak pernah penuh lagi. Dengan ini kita harus bersatu hati mengekalkan kehebatan The Red Warriors tanpa mempedulikan media mahupun kontroversi yang dicipta untuk mengambil kesempatan daripada kerancakan bolasepak Kelantan dan Malaysia. Mungkin sudah tiba masanya setiap isu panas dibiarkan sejuk oleh penyokong Kelantan sendiri iaitu memboikot seketika media tempatan yang merosakkan emosi darah wira merah, hanya dengan cara ini sahajalah kita mampu mengubah persepsi penggiat media supaya lebih bertanggungjawab dan adil dalam setiap laporan sukan mereka. Amat malang jika jadual dan carta perlawanan pun sering tersilap cetak, sehingga Kelantan pernah tersenarai antara pendahulu pasukan Liga Perdana dan Liga Super.
Di jiwa seluruh penyokong Kelantan mahupun Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa hanya mahu melihat kehebatan dan kerancakan yang melanda Kelantan di rasai oleh seluruh pasukan bolasepak di Malaysia. Jika pendokong bolasepak besar Malaysia sendiri merasakan setiap kegagalan tidak boleh ditegur atau dikrtik, maka cukuplah rasanya kita sebagai peminat bolasepak Malaysia meletak harapan yang tinggi pada skuad negara dengan sekadar menatap piala yang sudah dimenangi sebelum ini dan menjadi jaguh di asia tenggara atau terus berbangga dengan sejarah lampau Mokhtar Dahari yang pernah menewaskan Jepun, Arsenal dan pasukan tersohor luar negara suatu masa dulu. Menyertai pertandingan hanyalah syarat kerana menjadi ahli FIFA, AFC, AFF dan terus gagal bersama jutaan pelaburan dibawah nama pembangunan bolasepak untuk piala yang di sertai walaupun ia kononnya dibangunkan atau dibentuk dalam tempoh lebih 5 tahun.
Menggamit kenangan 5 tahun dulu, ramai juga yang memandang sinis atau mncemuh idea Tan Sri Annuar Musa bercita-cita menjadikan Kelantan sebuah pasukan juara. Namun selepas 5 tahun impian melihat Kelantan sebuah pasukan kerdil dari Liga Perdana menjadi kenyataan, kini pasukan ini telah berjaya buat pertama kali merangkul kejuaraan Piala Malaysia, Piala Liga Super dan melangkah ke final Piala FA serta buat julung kali juga beraksi di arena bolasepak antarabangsa dalam saingan Piala AFC . Selain mampu menyakinkan penaja-penaja menaja sebuah pasukan dari negeri yang di iktiraf paling daif. Jesteru itu tidak peliklah jika ada dari kalangan kononnya pencinta bolasepak melancar serangan ke atas Tan Sri Annuar Musa yang cuba mengubah situasi semasa bolasepak Malaysia yang seolah-olah makin lesu di kala peminat bolasepak Malaysia sudah kembali menyokong dan menyarung jersi pasukan kesayangan mereka. Status kegagalan semasa rupanya langsung tidak boleh dikritik oleh Timbalan Presiden yang kini menghadapi pertuduhan oleh Jawatankuasa FAM. Apalah sangat kritikan peminat bolasepak jika kritikan timbalan presiden pun mahu di hukum. Perlu diingatkan kepada yang memperlekehkan kejayaan ini kerana kejayaan yang dicipta adalah daripada kosong. "From zero to hero"

Seluruh peminat The Red Warriors akan berdiri teguh di belakang Tan Sri Annuar Musa, jika ditakdirkan dipecat atau dihukum oleh FAM. Ramai juga berharap baiklah kiranya Tan Sri Annuar memberi fokus 100% kepada The Red Warriors yang memerlukan tumpuan dan kudrat Tan Sri Annuar. Biarkanlah skuad Malaysia terus di ampu oleh media-media yang hanya mementingkan kocek mereka sahaja. Jika ramai yang menganggap faktor kekayaan negeri menjadi faktor utama kejayaan sesebuah pasukan, anda sebenarnya silap, jika benar sudah pasti pasukan seperti Johor, Melaka dan Pulau Pinang mampu menjadi pencabar utama bolasepak di Malaysia. Persatuan Bolasepak Kelantan di bawah pimpinan Tan Sri Annuar yang mendapat sokongan ribuan penyokong bolasepak The Red Warriors berjaya membuktikannya. Jumlah penyokong dan tadbir urus yang baik adalah penentu kejayaan sesebuah pasukan.
Terima kasih kepada seluruh penyokong Kelantan yang sentiasa setia memberi sokongan. Inilah masanya untuk kita terus menjadikan The Red Warriors sempadan politik demi untuk melihat kejayaan sebuah pasukan tercinta. Sungguhpun presiden bergiat aktif dalam politik kerana pengalaman luasnya masih diperlukan, bagi kita sebagai generasi yang celik dan bijak apakata kita butakan mata pekakkan telinga demi melihat bolasepak Kelantan terus menjadi benteng politik dan kekal mencabar. Kini misi tugas kita sekarang adalah memastikan Kelantan melangkah ke final Piala FA, oleh itu perlawanan menentang SPA FC 24 dan 27 mac sangat memerlukan sokongan seluruh penyokong Kelantan. Tanpa anda akan sunyi sepilah stadium keramat stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Sultan Muhammad ke 4.
AYUH INILAH MASANYA KITA TUNJUKKAN PADA MALAYSIA, PENYOKONG KELANTAN AKAN TERUS MEMEGANG STATUS PENYOKONG PALING BERNILAI DI MALAYSIA DAN AKAN TERUS BERSAMA MENYOKONG TAN SRI ANNUAR MUSA. SOKONGAN ANDA SEMUA AMAT DIHARGAI DISAAT PRESIDEN DISERANG DARI SEGENAP PENJURU INI. GOMO KELATE GOMO. PANTANG THE RED WARRIORS MENGAKU KALAH SEBELUM MASUK GELANGGANG.


Sumber : theredwarriors.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan