KELANTAN 2
Mohd Norfarhan
Muhammad (m-17)
Onyekachi
Nwoha (m-71)
KL SPA FC 0
(Kelantan
layak menerusi agregat 5-0)
KOTA BHARU – Naib juara Piala FA musim lalu, Kelantan mara ke peringkat
separuh akhir meski pun hanya mampu mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas KL SPA
FC dalam aksi perlawanan suku akhir kedua yang berlangsung di Stadium Sultan
Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Kemenangan malam tadi menyaksikan The Red Warriors layak menerusi
agregat 5-0 dan akan bertemu Kedah yang turut mara setelah menewaskan T-Team
2-1 dalam satu lagi perlawanan suku akhir yang dilangsungkan serentak malam
tadi.
Keghairahan Kelantan untuk memburu gol hadir seawal minit pertama
perlawanan menerusi rembatan kaki kiri Mohd Nurul Azwan Roya namun diselamatkan
penjaga gol KL SPA FC, Mohd Nuraizat Abdul Aziz.
Lapan minit berselang, Mohd Norfarhan Muhammad mempunyai peluang terbaik
untuk meletakkan Kelantan di depan namun gagal apabila tampanannya berpunca
hantaran lintang Onyekachi Nwoha tinggi meski pun pintu gol sudah pun ternganga.
Penjaga gawang KL SPA FC, Mohd Nuraizat sekali lagi dipaksa bekerja
keras di pintu golnya apabila menyelamatkan rembatan deras Zairul Fitree Ishak
hasil sepakan percuma pendek yang dilakukan oleh Indra Putra Mahayuddin pada
m-14 perlawanan.
Begitu pun, KL SPA FC hampir mengejutkan tuan rumah dua minit kemudian
apabila pemain sayapnya, Mohd Syafiq Azwad Zulkiflie bijak memperdayakan pemain
pertahanan, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim namun rembatannya sempat ditepis
keluar Mohd Shahrizan Ismail.
Seminit kemudian, sorakan hampir 15,000 penyokong setia The Red Warriors
bergema apabila Mohd Norfarhan menjaringkan gol pertama untuk Kelantan dalam
perlawanan malam tadi.
Segalanya berpunca apabila rembatan kencang Nwoha dari penjuru sebelah
kanan padang terkena tiang gol KL SPA FC sebelum Mohd Norfarhan yang tidak
dikawal mudah menolak masuk untuk menewaskan Mohd Nuraizat.
Ternyata gol tersebut kembali menyemarakkan semangat anak buah Bojan
Hodak untuk terus menambah jaringan memaksa barisan pertahanan pasukan pelawat
yang diketuai Ketua Pasukannya, Sazali Suwandi bekerja lebih keras sepanjang
babak pertama perlawanan malam tadi.
Usaha berterusan Kelantan untuk menambah jaringan terhasil pada m-23
perlawanan namun rembatan leret Mohd Nurul Azwan Roya terlalu lemah sementara
percubaan S Chanturu seminit kemudian setelah memperdayakan dua pemain
pertahanan KL SPA FC terus ke dakapan Mohd Nuraizat.
Pemain yang terkenal dengan jolokan ‘Kelantan Ekspres’, Chanturu gagal
menterjemahkan percubaannya dalam bentuk jaringan apabila rembatannya hasil
situasi kelam-kabut di depan pintu pasukan pelawat tersasar pada m-40
perlawanan.
Dua minit sebelum babak pertama berakhir, pasukan KL SPA FC kembali
menghidupkan cabaran kepada Kelantan menerusi percubaan Mohd Syafiq Azwad di
dalam kotak penalti memaksa Mohd Shahrizan menepis keluar bagi menyelamatkan
pintu golnya.
Permulaan babak kedua menyaksikan pengendali KL SPA FC, Nidzam Jamil
masih lagi terus memberikan kepercayaan kepada kesebelasan pemain yang sama
bagi memberi saingan kepada Kelantan.
Tidak banyak gerakan menarik dicetuskan oleh barisan penyerang pasukan
lawan sebaliknya The Red Warriors tampil lebih bersemangat menerusi rembatan
Nik Mohd Shahrul Azim pada m-61 sementara gerakan solo Mohd Nurul Azwan lima
minit kemudian mudah dipatahkan oleh Mohd Nuraizat.
Tindakan Ketua Pasukannya, Sazali mengasari Nwoha di dalam kotak penalti
mengundang padah apabila pengadil tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti
kepada Kelantan.
Namun Nwoha yang diberi tugas menyempurnakan sepakan tersebut gagal
menghadiahkan gol kedua untuk Kelantan apabila rembatannya terkena tiang gol
kiri psaukan KL SPA FC.
Empat minit kemudian, Nwoha yang kemarau jaringan sejak lima perlawanan
lalu menebuskan kekecewaannya apabila meledakkan gol kedua untuk Kelantan.
Berpunca hantaran pendek Mohd Norfarhan di dalam kotak penalti, pemain import kelahiran
Nigeria itu merembat kencang ke penjuru sebelah kanan pintu gol KL SPA FC untuk
gol kedua Kelantan.
Ketinggalan dua gol tidak mematahkan semangat pemain KL SPA FC apabila
turut mempunyai peluang pada m-84 perlawanan untuk merapatkan jurang menerusi
percubaan pemain gantian, Khairol Azry Abdul Rahman namun ditepis Mohd
Shahrizan manakala rembatan susulan Mohd Faizul Abdullah yang tinggi melewati
pintu gol Kelantan mengakhiri perjuangan pasukan tersebut dalam kempen Piala FA
musim ini.
Kesebelasan utama pemain :
KELANTAN : Mohd Shahrizan Ismail, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, Mohd
Farisham Ismail (KP) (Mohd Daudsu Jamaluddin), S Subramaniam, Zairul Fitree
Ishak (Mohamad Zamri Ramli), S Chanturu, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Nurul
Azwan Roya (Mohd Shahiran Md Zain), Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan
Muhammad dan Onyekachi Nwoha.
FORMASI : 4-4-2
SPA FC: Mohd Nuraizat Abdul Aziz, Mohd Zainolrani Yahya, Muhd Nur Saiful
Abdul Rahman, Sazali Suwandi (KP) (Mohd Zaifur), Mohd Rosdi Zakaria, Fadzly Iskandar
Adnan (Mohd Nabil Fikri Ilias), Nor Azizi Azman, Mohd Syafiq Azwad Zulkiflie,
Muhamad Ariffin Norazidi (Khairol Azry Abdul Rahman), Mohd Zulkifli Affendi dan
Mohd Faizul Abdullah.
FORMASI : 4-4-2
STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kelantan (4) KL SPA FC (2)
Percubaan tersasar : Kelantan (7) KL SPA FC (3)
Sepakan penjuru : Kelantan (12) KL SPA FC (3)
Sepakan percuma : Kelantan (10) KL SPA FC (14)
Ofsaid : Kelantan (2) KL SPA FC (2)
Kekasaran : Kelantan (12) KL SPA FC (8)
Kad kuning : Kelantan (Onyekachi Nwoha) KL SPA FC (Mohd Zainolrani Yahya
dan Sazali Suwandi)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : Empat minit
Penguasaan bola : Kelantan (60%) KL SPA FC (40%)
PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Mohd Zamzaidi Katimin
Penolong Pengadil 1: Mohd Yusri Mohamad
Penolong Pengadil 2: Hamzah Jaafar
Pegawai Keempat : Mohd Suhaimi Hassan
Kommissioner Perlawanan : Mustaq Khan Alias Khan
General Koordinator : Arif Hassan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan