Norshahrul Idlan Talaha sudah disahkan pulih daripada kecederaan dan sudah bersedia untuk beraksi
SELEPAS berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik
dalam saingan Piala FA, Kelantan kini kembali fokus untuk mempertahankan
kedudukan mereka di persada Liga Super apabila dijadualkan turun menentang
Felda United di Kota Bharu malam ini.
Aksi di Stadium Sultan Muhammad IV dengan disaksikan ribuan penyokong
setia, The Red Warriors pastinya mahu memanfaatkan peluang tersebut ketika
kedudukan mereka kini semakin dihimpit oleh pasukan Lions XII dan Terengganu.
Pengurus pasukan, Azman Ibrahim berkata, cabaran pasukan Felda United
tidak harus dipandang mudah oleh para pemainnya biarpun pasukan tersebut sedang
bergelut untuk keluar daripada zon penyingkiran.
Menurutnya, pasukan yang terkenal dengan jolokan The Settlers itu
memiliki ramai pemain berbakat yang mampu mengejutkan pasukan lain, termasuk
Kelantan sekiranya tidak diberikan perhatian.
“Mereka (Felda United) mempunyai pemain yang cukup sempurna tetapi
mungkin ada beberapa faktor lain menyebabkan kedudukan mereka kini tidak begitu
baik dalam liga. Bagi saya, mereka bukan pasukan yang mudah untuk ditewaskan.
“Pemain-pemain seperti Faderin Kadir, Norizam Salaman, Azrul Ahmad dan
beberapa lagi pemain mampu memusnahkan impian kita. Mereka harus diberikan
perhatian dan sudah tentu kita mahu keputusannya memihak kepada kita,” katanya
ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, persiapan Kelantan masih belum sempurna kerana beberapa
pemain tonggak masih belum dapat diturunkan ekoran kecederaan tetapi dengan
barisan pemain yang ada, kekosongan tersebut mampu diisi oleh pemain lain.
Katanya, apa yang menggembirakan kem Kelantan ialah kembalinya
penggempur sensasi mereka, Norshahrul Idlan Talaha yang kini sudah disahkan
pulih daripada kecederaan dan sudah bersedia untuk beraksi.
“Segalanya bergantung kepada jurulatih, sekiranya perlu kita akan
menyenaraikan Norshahrul kerana jadual kita untuk bulan April cukup padat.
“Kita perlu berhati-hati dalam mengatur penggiliran pemain kerana jadual
perlawanan cukup padat, terutamanya dengan kesemua aksi adalah penting,
termasuk separuh akhir Piala FA dan perlawanan Piala AFC menentang Arema Malang
dari Indonesia,” ujarnya.
Jelasnya, kesilapan dalam mengadakan sistem penggiliran tersebut mungkin
mendedahkan pemain terhadap risiko kecederaan serta sindrom kepenatan yang
pastinya memberi kesan kepada prestasi pasukan.
Dalam pada itu, Azman turut mengulas mengenai persembahan pemain
importnya, Nwoha Onyekachi yang mempunyai tempoh kurang sebulan untuk terus
mempamerkan aksi terbaik dalam usaha memikat pihak pengurusan untuk
mengekalkannya dalam pasukan.
“Tarikh tutup pendaftaran pada 16 April dan dia (Nwoha) mempunyai cukup
masa untuk membuktikan kemampuannya untuk terus kekal dalam pasukan dan kita
mengharapkan dia mampu memberikan impak kepada pasukan,” jelasnya.
sumber : kelate.net
Tiada ulasan:
Catat Ulasan