KUALA LUMPUR – Nasib malang terus menghantui bola sepak Kelantan, apabila skuad Piala Presiden dipotong 14 mata oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setelah didapati menurunkan pemain yang tidak sah dalam tujuh perlawanan Liga Piala Presiden sebelum ini.
Semuanya gara-gara menurunkan penjaga gol muda, Muhammad Syazwan Yusoff yang didaftarkan untuk skuad Liga Super Kelantan, namun beraksi bersama skuad Piala Presiden mengakibatkan juara bertahan musim lalu menerima padah apabila dipotong mata oleh badan induk bola sepak kebangsaan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, semua mata yang diraih hasil empat kemenangan dan dua kali seri oleh skuad Piala Presiden Kelantan dipotong dan diberikan kepada pihak lawan.
“Setelah diperhalusi, kita mendapati pasukan Kelantan menggunakan pemain yang tidak sah dalam tujuh perlawanan tersebut.
“Selaras peraturan 55(2), hanya pemain di peringkat pertandingan bawahan sahaja dibenarkan bermain pada kejohanan lebih tinggi.
“Seseorang pemain yang didaftarkan dalam kejohanan lebih tinggi tidak dibenarkan untuk bermain pada kejohanan lebih rendah.
“Untuk itu, kami memutuskan Kelantan tewas dalam semua tujuh perlawanan dan pihak lawan diberi kemenangan dengan jaringan 3-0,” katanya dalam sidang media di Wisma FAM semalam.
Pemotongan 14 daripada 30 mata (tidak termasuk perlawanan dengan T-Team yang berlangsung petang semalam), menyaksikan Kelantan yang berada di tangga keempat keseluruhan bakal terperosot ke kedudukan pertengahan liga.
Malah peluang untuk juara bertahan itu, mara ke suku akhir tampak sukar apabila perlu memenangi kesemua baki lapan perlawanan, selain mengharapkan beberapa pasukan yang berada di tangga teratas tewas dalam perlawanan selepas ini.
Sementara itu, dalam aksi Liga Piala Presiden yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang semalam, Kelantan mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas pasukan berstatus kelab dari Terengganu, T-Team.
Meski pun ketinggalan 0-1 menerusi jaringan Ketua Pasukan T-Team, Fuad Mamat pada m-26 perlawanan, namun skuad yang terkenal dengan jolokan The President Warriors bangkit untuk menyamakan kedudukan sepuluh minit kemudian menerusi rembatan Mohd Aris Zaidi.
Mohd Aris muncul wira apabila rembatan leretnya hasil hantaran lintang Mohamad Qayyum pada m-59 perlawanan menerjah jaring untuk gol kemenangan Kelantan pada perlawanan petang semalam.
sumber : kelate.net
Tiada ulasan:
Catat Ulasan