Hatrik Ghaddar julang Kelantan
KOTA BHARU – Jaringan hatrik
Mohammad Ghaddar memastikan Kelantan melakarkan kemenangan pertama pada
Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia setelah menewaskan Arema FC 3-0
dalam aksi perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota
Bharu malam tadi.
Memanfaatkan peluang beraksi di
halaman sendiri buat pertama kali, The Red Warriors seharusnya berterima kasih
kepada penyerang import dari Lubnan itu yang bukan sahaja mencipta hatrik malah
berjaya menamatkan penantian sejak dua bulan lalu dengan menjaringkan gol
padang dalam perlawanan malam tadi.
Seawal minit keempat perlawanan
Kelantan hampir mendahului namun hantaran lintang S Chanturu gagal disambar
Mohammad Ghaddar dan Dennis Antwi di depan pintu gol Arema FC.
Sepuluh minit kemudian, Ketua
Pasukan, Mohd Badhri Radzi mencetuskan gerakan menarik bersama Mohammad Ghaddar
di depan pintu gol lawan namun Chanturu memilih untuk merembat terus ke dakapan
penjaga gol, Deniss Romanovs.
Pasukan pelawat yang dilihat
gagal menyerap asakan awal pemain Kelantan kembali melancarkan serangan
menerusi rembatan jarak jauh Abdul Mushafry Talaohu yang menyaksikan bola terus
ke dakapan penjaga gol, Mohd Shahrizan Ismail pada m-20 perlawanan.
Seminit kemudian giliran
Kelantan kembali membalas serangan namun Chanturu mensia-siakan ‘dummy’ yang
dilakukan Mohammad Ghaddar apabila melepaskan rembatan liar ke sebelah kanan
pintu gol Arema FC.
Begitupun Mohammad Ghaddar
menamatkan keresahan hampir 9,000 penyokong setia The Red Warriors apabila
menjaringkan gol pertama tiga minit kemudian. Berpunca gerakan solonya yang
memperdayakan dua pemain pertahanan lawan, Mohammad Ghaddar merembat kencang untuk
menewaskan Romanovs di pintu golnya.
Ketinggalan satu gol memaksa
pasukan pelawat bangkit menyusun serangan dan satu-satunya peluang terbaik
hadir pada m-38 perlawanan apabila Roman Chmelo melakukan hantaran mengelirukan
di depan pintu gol Kelantan namun rembatan Putut Waringin Jati diselamatkan
Mohd Shahrizan.
Seminit babak kedua bersambung,
Arema FC kembali memberikan saingan namun kempunan untuk menyamakan kedudukan
apabila percubaan Chmelo di dalam kotak penalti terkena tiang gol kiri Kelantan.
Mohammad Ghaddar terus
membuktikan sentuhannya masih belum berkarat apabila menjaringkan gol kedua
seminit selepas itu. Berpunca sepakan penjuru Mohd Badhri, Mohammad
Ghaddar pantas menanduk masuk untuk menewaskan Romanovs buat kali kedua.
Seakan berpuas hati dengan
kelebihan dua gol itu, barisan pemain Bojan Hodak dilihat mula mengendurkan
corak permainan dan situasi tersebut dipergunakan sebaiknya oleh barisan pemain
Arema FC dengan melancarkan serangan ke pintu gol Kelantan.
Hasilnya mereka mempunyai dua peluang
terbaik untuk merapatkan jurang pada m-56 namun rembatan Abdul Mushafry sedikit
melewati pintu gol sementara percubaan pemain gantian, Ahmad Amiruddin yang
melepasi kekangan Mohd Daudsu Jamaluddin pada m-64 perlawanan terus ke dakapan
Mohd Shahrizan.
Tidak terhenti di situ asakan
pemain Arema FC apabila Abdul Mushafry sekali lagi mempunyai peluang untuk
memecahkan kebuntuan dua minit kemudian namun rembatan kencangnya pula tersasar
di sebelah kiri pintu gol Kelantan.
Enggan membenarkan Arema
FC terus menguasai perlawanan, Kelantan kembali melancarkan serangan namun
tindakan Mohammad Ghaddar yang terlalu lama menyimpan bola pada m-70 perlawanan
memaksa beliau menggigit jari apabila rembatannya dikeluarkan pemain pertahanan
Arema FC meski pun berjaya menewaskan Romanovs sbelum itu.
Malah simulasi Mohammad Ghaddar
yang mendakwa dijatuhkan oleh pemain pertahanan lawan di dalam kotak penalti
dua minit kemudian turut mengundang padah apabila beliau dilayangkan kad kuning
oleh pengadil dalam perlawanan malam tadi.
Pemain gantian, Indra Putra
Mahayuddin turut terlepas peluang menambahkan jaringan untuk Kelantan apabila
rembatannya pada m-82 perlawanan hasil tolakan ke belakang Mohammad Ghaddar
terus ke dakapan Romanovs.
Hasrat Arema FC untuk
sekurang-kurangnya mendapatkan gol saguhati terus gagal apabila sepakan
percuma Herman Rhomansyah yang ditanduk cantik Andrew Nikolas Barisic
terkena palang gol pada m-88 perlawanan.
Seminit kemudian, Mohammad
Ghaddar memastikan nama beliau terpahat selaku penjaring hatrik apabila bijak
menyempurnakan hantaran Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim dengan merembat masuk
menewaskan Romanovs untuk gol ketiga Kelantan dalam perlawanan malam tadi.
Kesebelasan utama pemain :
KELANTAN : Mohd Shahrizan
Ismail, Mohd Daudsu Jamaluddin (Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim), Obinna
Nwaneri, S Subramaniam, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Nurul Azwan Roya
(Indra Putra Mahayuddin), Mohd Shakir Shaari, Mohd Badhri Radzi (KP), S
Chanturu, Dennis Antwi dan Mohammed Ghaddar (Faizol Nazli Sayuti).
FORMASI : 4-2-2
AREMA FC : Deniss Romanovs,
Fariz Bagus Dhinata, Hermawan, Irfan Raditya, Putut Waringin Jati (Ahmad
Amiruddin), Gunawan Dwi Cahyo, Legimin Raharjo (KP), Marko Krasic (Anggo Yulian
Hari Sapta P), Abdul Mushafry Talaohu, Roman Chmelo (Herman Rhomansyah) dan
Andrew Nikolas Barisic.
FORMASI : 4-4-2
STATISTIK
PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kelantan (6)
Arema FC (4)
Percubaan tersasar : Kelantan (4) Arema FC (3)
Sepakan penjuru : Kelantan (2) Arema FC (3)
Sepakan percuma : Kelantan (19) Arema FC (12)
Offsaid : Kelantan (1) Arema FC (8)
Kekasaran : Kelantan (11) Arema FC (11)
Kad kuning : Kelantan (Mohd Nurul Azwan Roya dan Mohammad Ghaddar) Arema FC
(Andrew Nikolas Barisic, Hermawan dan Fariz Bagus Dhinata)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : Enam minit
Penguasaan bola : Kelantan (55%) Arema FC (45%)
PEGAWAI
PERLAWANAN
Pengadil : Kim Sang Woo
(Republik Korea)
Penolong Pengadil 1: Yoon Kwang Yeol (Republik Korea)
Penolong Pengadil 2: Kim Sung Il (Republik Korea)
Pegawai Keempat : Abdul Hannan Miron (Bangladesh)
Kommissioner Perlawanan : Chen Yong Liang (China)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan