Rabu, 11 April 2012

Kelantan kalahkan Arema 1-3

AREMA FC 1
Roman Chmelo (m-35)


KELANTAN 3
Mohammad Ghaddar (pen m-15, 59)
Mohamad Zamri Ramli (m-86)


SELEPAS menjaringkan hatrik minggu lalu di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Mohammed Ghaddar hari ini menjaringkan dua gol bagi membantu Red Warriors menewaskan Arema FC 3-1 dalam pertemuan ulangan peringkat kumpulan H kempen Piala AFC Stadium Gajayana, Kota Malang.
Dua gol menerusi sumbangan penyerang import Lubnan, Mohammad Ghaddar dan satu gol hasil jaringan Mohamad Zamri Ramli sudah cukup untuk melonjakkan Kelantan ke tangga teratas saingan kumpulan, meskipun berkongsi tujuh mata dengan wakil Vietnam, Navibank Saigon dan Ayeyawady United FC dari Myanmar.
Seawal minit ketiga perlawanan, menyaksikan pasukan Arema FC melakukan asakan awal menerusi sepakan penjuru Abdul Mushafry Talaohu, namun tandukan Gunawan Dwi Cahyo tersasar di sebelah kanan pintu gol Kelantan.
Namun hampir 1,500 penyokong pasukan tuan rumah terdiam seketika apabila Kelantan menjaringkan gol pertama pada minit ke-15 perlawanan. Tindakan pemain pertahanan Arema FC, Irfan Raditya menjatuhkan Mohammad Ghaddar di dalam kotak penalti mengundang padah apabila pengadil tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.
Mohammad Ghaddar yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan tersebut tenang merembat masuk ke penjuru kanan pintu gol Arema FC untuk menewaskan Deniss Romanovs.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Arema FC kembali menggandakan serangan dua minit kemudian menerusi hantaran lintang Andrew Nikolas Barisic namun tandukan cantik Roman Chmelo sempat ditepis keluar penjaga gol Kelantan, Mohd Shahrizan Ismail.
Chmelo terus menjadi duri dalam daging kepada Kelantan apabila mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada m-28 perlawanan namun kuisannya hasil umpanan pendek Ahmad Amiruddin hanya sedikit melewati pintu gol Kelantan.
Seminit kemudian, pintu gol Kelantan cemas seketika apabila rembatan leret Abdul Mushafry menyaksikan Mohd Shahrizan tertewas di posisinya namun Chmelo gagal menolak masuk ke dalam gawang gol.
Kelantan seharusnya lebih selesa mengukuhkan kedudukan selepas itu namun dua percubaan menerusi Dennis Antwi pada m-32 dan 33 perlawanan tersasar sementara rembatan pemain sayap, Mohamad Zamri seminit kemudian terus ke dakapan Romanovs.
Arema FC kembali memberikan saingan apabila berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada m-35 perlawanan. Hasil sepakan percuma Kapten, Legimin Raharjo, pemain import kelahiran Slovakia, Chmelo berjaya menanduk masuk gol untuk penyamaan pasukannya.


Babak kedua bersambung menyaksikan Kelantan memulakan asakan apabila Chanturu mempunyai peluang terbaik pada m-54 perlawanan untuk menjaringkan gol namun rembatan kencangnya hasil umpanan pendek Antwi terus ke dakapan Romanovs.
Tiga minit kemudian, pasukan tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 orang apabila pemain tengahnya, Anggo Yulian Hari Sapta P diperintahkan keluar padang oleh pengadil setelah menerima kad kuning kedua.
Derita anak buah Dejan Antonic terus berganda apabila Mohammad Ghaddar menjaringkan gol kedua Kelantan dua minit kemudian. Mohammad Ghaddar mempamerkan kemahiran individu berkelas tinggi apabila bijak memperdayakan tiga pemain pertahanan Arema FC sebelum kuisannya di dalam kotak penalti melepasi jangkauan Romanovs.
Tertekan dengan jaringan tersebut, pasukan tuan rumah kembali melancarkan serangan namun terus menemui kebuntuan untuk menyamakan kedudukan apabila percubaan pemain gantian, Yoga Eka Firmansyah Hera pada m-68 dan rembatan kencang Legimin pada m-77 perlawanan diselamatkan Mohd Shahrizan.
Dua minit kemudian, pasukan tuan rumah terus kempunan untuk menyamakan kedudukan apabila sepakan percuma Herman Rhomansyah sedikit melewati pintu gol meski pun Mohd Shahrizan sudah terkeluar daripada posisinya.
Di sebalik asakan hebat pemain Arema FC, Mohammad Ghaddar seharusnya mencipta nama selaku penjaring hatrik namun rembatannya setelah memperdayakan dua pemain pertahanan pasukan rumah sekadar menerjah jaring sisi pada m-82 perlawanan.
Empat minit berselang, sisa perjuangan Arema FC untuk kembali bangkit akhirnya berkubur apabila Mohamad Zamri melengkapkan gol ketiga untuk Kelantan. Hantaran lintang Indra Putra Mahayuddin pantas dirembat masuk oleh Mohamad Zamri hasil kelalaian benteng pertahanan pasukan tuan rumah.


sumber : kelate.net

Tiada ulasan:

Catat Ulasan